KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menggesa AirAsia untuk mengkaji lebih banyak penerbangan dari destinasi antarabangsa ke Sabah.
Beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu perlu memanfaatkan lokasi strategik Sabah untuk mengendalikan sebanyak mungkin penerbangan antarabangsa ke ibu negeri.
“Kerajaan Negeri mengiktiraf bahawa AirAsia adalah penyedia utama akses udara ke Sabah dan saya ingin melihat syarikat penerbangan itu melakukan lebih banyak lagi,” katanya semasa menerima kunjungan hormat Pengurusan Tertinggi Capital A, sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Berhad, di pejabatnya di sini, hari ini.
Diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Tony Fernandes dan Pengerusi Eksekutif Datuk Kamarudin Meranun, mereka memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai operasi semasa dan rancangan masa depan syarikat penerbangan tambang murah itu.
Mereka berkongsi penamaan terhadap pesawat syarikat penerbangan itu yang dinamakan sempena mendiang Datuk Irene Benggon Charuruks, sebagai mengiktiraf sumbangan bekas pengurus besar Lembaga Pelancongan Sabah (STB) itu kepada industri pelancongan negeri ini.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai.