SANDAKAN : Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mempercepatkan pelan pembangunan naiktaraf Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan menjadi sebuah hospital bertaraf negeri di kawasan pantai timur Sabah.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata ia bagi membolehkan peningkatan kapasiti perkhidmatan hospital dan mengatasi keperluan lebih banyak katil pesakit yang kini sudah tidak mampu menampung kegunaan seharian.
Beliau membuat gesaan ini pada sesi kamar khas bagi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Vivian membuat pertanyaan kepada KKM mengenai kemajuan pelaksanaan pelan naiktaraf HDOK Sandakan serta rancangan menubuhkan Jabatan Kardiologi di hospital itu.
Beliau menyatakan hospital tersebut ketika ini hanya mempunyai 400 katil pesakit tetapi dalam masa sama memberi perkhidmatan kepada seluruh kawasan pantai timur termasuk Kinabatangan, Beluran dan Tongod dengan populasi lebih kurang 800,000 penduduk.
Jelasnya, situasi itu juga telah melebihi kapasiti dan tidak mampu memenuhi permintaan pesakit dan menyebabkan perkhidmatan perubatan yang terbaik tidak dapat diberikan kepada rakyat.
Dalam konteks ini, beliau sangat berharap agar KKM dapat segera melaksanakan pelan naiktaraf itu sejak September 2022, yang mana bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan dalam Kertas Putih Kesihatan bahawa HDOK akan dinaiktaraf menjadi hospital bertaraf negeri kedua di Sabah, setanding dengan Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu dengan merancang penambahan bilangan jabatan pakar dari 18 kepada 49.
Jawapan daripada Menteri menyatakan bahawa kerajaan telah meluluskan kerja-kerja pelaksanaan awalan untuk bangunan baru HDOK yang dapat menampung kira-kira 400 buah katil, termasuk kerja-kerja pengukuran tanah, kajian tanah dan penyediaan skop projek serta keperluan-keperluan lain yang akan dilaksanakan terlebih dahulu, untuk menganggarkan kos projek secara terperinci dan ia akan dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia ke-12 dan ke-13.
Pada masa yang sama, kementerian itu akan terus mengoptimumkan prosedur rawatan penyakit jantung, menyusun jadual rawatan berdasarkan kecemasan dan mengarahkan pesakit untuk menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
Pakar dari hospital tersebut juga akan memberikan nasihat dan pandangan pakar dari jauh kepada HDOK Sandakan dan pesakit akan dinasihatkan untuk menerima rawatan di Kota Kinabalu jika keadaan serius.