KOTA KINABALU : Setelah kejayaan konsert ketiganya di Pulau Pinang pada 28 Oktober lepas dengan kehadiran hampir 14,000 orang penonton, ratu rock negara, Ella kini kembali untuk beraksi untuk peminat di Sabah terutamanya yang berada di sekitar Kota Kinabalu pada 20 Januari 2024.
Digelar konsert ‘JILID AKHIR: ELLA PUTERI KOTA’ KOTA KINABALU, Ella bakal membuat persembahan keempatnya di Pusat Kovensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.
Selain giat mempromosikan konsertnya, Ella juga aktif dalam bidang perniagaan produk RockQueen seperti abaya dan buku biografi yang bertajuk ‘Rockers Juga Manusia’.
Masih mengekalkan tema ‘Glam Rock’, konsert yang dijangkakan berlangsung sekitar 2 jam lebih bakal disajikan dengan kira-kira 25 ke 30 buah lagu bergantung dengan permintaan peminatnya, dan pastinya ada artis jemputan yang masih dirahsiakan nama mereka sebagai kejutan.
Ella kini sedang menjalankan sesi latihan muzik beberapa kali seminggu bersama pengarah muzik, Datuk Acis serta aktiviti rutin kecergasannya demi membina stamina menuju hari konsert tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) & Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal, setelah kejayaan konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berjaya memecahkan rekod The Malaysia Book of Records dengan penjualan tiket ‘sold-out’ dalam masa 24 jam membuktikan bahawa Ella sememangnya ratu rock negara yang tiada tandingan.
“Demi menyahut permintaan peminat Ella yang tidak berpeluang menonton konsert tempoh hari, pihak Hitman Solutions sedaya-upaya memberikan kepuasan sepenuhnya kepada penggemar rock di Sabah pula,” katanya.
Rohit berterima kasih kepada ERA Sabah dan ERA Sarawak (rakan radio rasmi), Imago Shopping Mall (rakan pusat membeli-belah), Ming Garden Hotel & Residences (rakan hotel rasmi), dan D’Bundle Mania, JeeHarris Corporation & Firm Horizon (rakan kerjasama).”
Dalam pada itu, Ella berkata semoga peminat saya semua akan terhibur dan bahagia menyaksikan konsertnya nanti yang pastinya sebuah pengalaman indah dan menjadi kenangan manis yang bakal dirindukan.
Tiket-tiket sudah pun mula dijual pada 9 November 2023 jam 12:00 tengahari lalu di www.hitmanlive.com dan jualan tiket fizikal di semua cawangan D’bundle Mania.