KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) siap sedia untuk kembali ke Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) bagi mempromosikan negeri ini secara agresif sebagai destinasi percutian pilihan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor dijangka menyempurnakan pembukaan pameran pelancongan terbesar Malaysia itu pada Nov 20.
Pameran yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu turut disertai oleh 20 syarikat pelancongan, pusat peranginan dan pengendali selam skuba. Kebanyakan mereka mewakili persatuan pelancongan dari Sandakan.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merangkap Pengerusi STB berkata, usaha MATTA untuk menganjurkan pameran pelancongan secara fizikal adalah langkah positif bagi merancakkan sektor pelancongan pada waktu pandemik.
“Kami amat berbesar hati kerana Sabah dipilih oleh MATTA sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia. Pada bulan November, kami sudah mempunyai 56 penerbangan mingguan dari MAS dan 98 penerbangan mingguan dari Air Asia, yang semuanya penuh.
“Ini menunjukkan orang ramai kini mempunyai keyakinan untuk melancong semula. Banyak hotel dan tempat menarik di negeri ini sedia untuk menerima pelawat terutama dari negeri lain.
“Kehadiran Ketua Menteri juga penting kerana ia menunjukkan komitmen Kerajaan negeri untuk melihat industri pelancongan kita pulih dengan segera kerana ia merupakan salah satu fokus utama kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media maya mengenai MATTA Fair 2021 hari ini. Turut hadir Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang.
Joniston berkata, pelancaran kempen #MansauSabahBoostku baru-baru ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan semua baucar yang ada ditebus sepenuhnya dalam masa kurang daripada 15 jam.
Dengan kerjasama salah satu penyedia perkhidmatan e-wallet Malaysia, katanya, kempen ini berhasrat untuk menggiatkan semula sektor pelancongan Sabah dan industri berkaitan.
“Maklumbalas ini menunjukkan ramai orang Malaysia sudah tidak sabar-sabar untuk menerokai Sabah. Saya berharap pengguna akan menggunakan baucer mereka sepenuhnya selain menikmati tawaran pakej melancong Sabah yang ada di MATTA Fair,” katanya.
Dalam pameran pelancongan tahunan selama dua hari itu, STB akan menubuhkan pavilion di Dewan Empat dengan 12 gerai – iaitu pavilion negeri terbesar.
Sementara itu, Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, ini merupakan kali ketiga negeri Sabah menyertai MATTA Fair, sambil menambah beliau percaya promosi pelancongan untuk negeri ini akan mendapat sambutan sepanjang pameran.
“MATTA menyasarkan untuk menerima 20,000 pengunjung ke pameran itu dan menjana RM25 juta jualan domestik.
“Sebanyak 80 peratus gerai pameran telah dipenuhi dan kami berharap rakyat Malaysia akan mengambil peluang ini untuk memanfaatkan pakej pelancongan yang turut ditawarkan oleh negeri lain,” katanya.