PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengarahkan kerja-kerja pembaikan jalan di laluan Penampang–Tambunan yang terjejas akibat tanah runtuh dipercepatkan bagi menjamin keselamatan pengguna dan kelancaran perhubungan ke pedalaman.
Beliau berkata, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada keselamatan rakyat dan mahu kerja pembaikan disiapkan segera supaya penduduk tidak terus terjejas.
Hajiji meninjau sendiri lokasi kejadian di Kampung Pogunon sebaik tiba dari Kuching selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal MA63.
Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, syarikat konsesi dan agensi berkaitan diarah menambah jentera serta bekerja 24 jam bagi memastikan laluan dua hala dapat dibuka semula dalam tempoh terdekat. Buat masa ini, hanya satu hala dibuka kepada kenderaan.
Selain jalan, Hajiji turut menekankan kepentingan memulihkan segera bekalan elektrik yang terputus akibat runtuhan. Beliau sendiri akan menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn Bhd untuk memastikan tindakan pantas diambil.
Ketua Menteri juga mahu Jabatan Air Sabah dan JETAMA memastikan bekalan air bersih kembali normal, manakala Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri menyelaras bantuan bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada penduduk terjejas.
Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tanah runtuh berpunca daripada hujan lebat berterusan tiga hari berturut-turut dengan taburan tertinggi 82.5 milimeter sehari pada 11 September lalu yang menyebabkan cerun tidak stabil.
Dalam tragedi itu, sebuah rumah tertimbus sehingga mengorbankan nyawa.
Hajiji menzahirkan rasa sedih dan memberi jaminan kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan ihsan khairat serta sokongan untuk membina semula kediaman keluarga terjejas.
Setakat 8 pagi, 13 September, seramai 437 mangsa daripada 128 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort, Penampang dan Tawau.
Manakala JKR memaklumkan kerja pembersihan di Jalan R500 Kota Kinabalu–Keningau–Tenom sedang giat dijalankan dengan kebanyakan laluan dibuka secara kawalan satu lorong.
