BEAUFORT : Hadiah keseluruhan RM26,000 menanti kepada pemenang Kejohanan Bola Sepak Sembilan sebelah terbuka Sabah bertempat di Kompleks Sukan Beaufort pada 9-10 Mac ini.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Beaufort, Ak Mohd Yazri Ak Mohd Yahya berkata, juara akan menerima wang tunai RM15,000 manakala Naib Johan RM7,000 manakala ketiga RM4,000 sekali gus masing-masing menerima piala, medal dan hamper.
Katanya, kejohanan peringkat negeri ini merupakan satu perancangan jangka masa panjang Pemuda UMNO Beaufort bagi mengembangkan sukan bola sepak sekali gus mencungkil bakat baharu dalam sukan ini di masa depan.
“Selain matlamatnya untuk mengembangkan bola sepak, kejohanan ini juga menjadi medium menyatukan masyarakat khususnya dalam kalangan belia agar tidak terlibat dalam Penyalahgunaan najis dadah.
“Sukan bola sepak merupakan antara yang sangat digemari ramai mampu menjadi platfrom mencungkil bakat baharu dalam usaha melahirkan pemain berkualiti sekali gus menjadi pelapis kepada pasukan bola sepak negara di masa depan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Mohd Yazri berkata, yuran penyertaan iaitu RM2,000 untuk setiap pasukan yang berminat menyertainya manakala setakat ini pendaftaran masih dibuka kepada pasukan serta kelab yang ingin menyertai kejohanan tersebut.
“Kejohanan ini merupakan kerjasama antara Pemuda UMNO Beaufort bersama Beaufort Football Channel di kawasan Parlimen Beaufort bagi memberi peluang lebih ramai pasukan atau kelab yang berminat untuk menyertainya.
“Kepada mereka yang berminat boleh menghubungi Aya di talian 014-6789708, Awis 013-3388871 Dadi 012-8372908 serta Naz 016-2098793 untuk mendapatkan borang serta info lanjut berkaitan kejohanan ini,” jelas Mohd Yazri.