KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Gerakan Tanah Air (GTA) dipimpinnya bukan parti politik biasa sebaliknya ia merupakan gerakan rakyat yang biasanya tidak bersuara dalam politik.
Beliau yang merupakan Pengerusi Penaja GTA berkata, golongan tersebut adalah mereka yang tidak bersetuju dengan perkembangan politik dalam negara.
“Mereka mendapati tidak ada satu pun parti politik yang memenuhi kehendak negara. Mereka berpendapat menyokong parti-parti yang ada tidak menghasilkan kerajaan yang mampu menyumbang kepada kestabilan dan kejayaan negara.
“Kecewa dengan keadaan politik dalam negara, ramai mereka memilih untuk mengasingkan diri daripada politik. Ramai pula yang tidak akan mengundi. “Malangnya kerana tidak mengundi, kemenangan akan diperolehi oleh parti yang mereka tolak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, dengan keadaan itu negara akan mengalami kedudukan yang lebih buruk dari sebelum pilihan raya umum (PRU).
“Mereka perlu digabung dalam satu gerakan pencinta negara yang berpegang kepada keluhuran undang-undang dan kemajuan negara,” katanya.