KOTA KINABALU: Rakyat Sabah perlu menolak sepenuhnya pemimpin Barisan Nasional (BN) dilihat hanya pandai menabur janji menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Abd Aziz Taip berkata, kenyataan media Presiden Barisan Nasional (BN) mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkatkan sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 apabila BN kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah sangat menguris hati rakyat di negeri ini.
Katanya, dalam suasana menyambut ‘Hari Malaysia’ kenyataan seumpama ini tidak sepatutnya dikeluarkan hanya semata-mata untuk mendapatkan sokongan bagi kepentingan politik mereka.
“Kita persoalkan mengapa mesti menunggu lagi untuk melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Sedangkan Barisan Nasional (BN) kini menjadi pemerintah di peringkat pusat.
“Perdana Menteri adalah daripada UMNO dan BN. Mereka kini berkuasa…Rakyat Sabah terus menderita dengan kedaifan serta semakin ketinggalan dari pelbagai aspek berbanding negeri-negeri lain di semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Abd Aziz yang juga Ketua Bahagian Warisan Sipitang berkata, buktinya masih terdapat jalan raya tidak sempurna termasuk sekolah daif di seluruh wilayah Sabah masih belum dapat diperbaiki sepenuhnya.
“Bekalan air bersih dan elektrik masih tidak dinikmati sepenuhnya rakyat Malaysia di wilayah Sabah.
“Banyak lagi perbandingan dari aspek pembangunan fizikal yang memperlihatkan betapa wilayah Sabah jauh ketinggalan berbanding Persekutuan Tanah Melayu dan wilayah Sarawak,” katanya.
Abd Aziz berkata, untuk rekod ketika Warisan menjadi kerajaan negeri Sabah bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, 21 perkara telah dikemukakan kerajaan Sabah dan Sarawak dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia.
“Kita berjaya memperoleh 17 daripadanya mendapat persetujuan bersama. Manakala baki 4 lagi perkara termasuk isu royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum.
“Selain itu mineral minyak dan medan minyak, Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750], dan hak negeri ke atas pelantar benua terbantut selepas Langkah Sheraton yang mengubah tampuk pemerintahan kerajaan di Putrajaya,” katanya.
Menurutnya, Warisan kekal konsisten serta tidak berundur untuk memperjuangkan hak serta kepentingan rakyat Sabah agar MA63 dapat dilaksanakan dalam tempoh serta-merta.
“Adakah rakyat Sabah boleh memberi kepercayaan kepada BN-Umno untuk benar-benar memperjuangkan perlaksanaan Perjanjian Malaysia atau sekadar mengulangi janji manis dan retorik politik sepertimana janji semasa PRK Kimanis 2020,” katanya.