KOTA KINABALU: Parti Warisan menyelar kenyataan Presiden Barisan Nasional (BN) mengenai kedudukan Sabah dan Sarawak akan terus dipertingkatkan sesuai dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 apabila BN kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi (AMT), Azhar Matussin, berkata MA63 hendaklah ditunaikan sekarang memandangkan Umno serta BN merupakan parti yang kini memerintah di peringkat pusat.
Katanya, trend terbaharu ini adalah taburan janji kosong ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU15) terutama kepada rakyat di negeri Sabah dan Sarawak.
“Mana Janji semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis lalu. Sehingga kini pun masih belum tertunai, dalam masa sama sekarang buat janji baharu lagi.
“Kita persoalkan mengapa setelah sekian lama UMNO bertapak di Sabah MA63 masih belum dilaksanakan rakyat Sabah bosan dijanjikan bulan dan bintang.
“MA63 sudah 59 tahun…takkan kita mahu tunggu 59 tahun lagi untuk ditunaikan. Setiap kali PRU tiba MA63 adalah modal utama mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, selagi Sabah diperintah parti dari luar agenda melaksanakan MA63 tidak akan tercapai berikutan mereka tidak menjiwai perjuangan kerana terpaksa tunduk demi kepentingan diri sendiri.
“Sangat menghairankan mengapa pemimpin Sabah masih menyokong pemimpin yang didapati bersalah di mahkamah serta masih berhadapan dengan kes-kes perbicaraan di mahkamah,” katanya.
Azhar mencadangkan adalah lebih baik Zahid fokus kepada perbicaraan kes mahkamah dihadapinya daripada menabur janji kosong sekali gus dilihat hanya menipu serta meracun pemikiran rakyat Sabah.