KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi, Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyeru rakyat agar terus mengekalkan semangat perjuangan di bawah panji Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, sejak penubuhannya, GRS berpegang kepada prinsip kebersamaan dan tanggungjawab bersama rakyat Sabah yang dizahirkan melalui konsep #RumahKitaKitaJaga dan #KitaJagaSabah.
Menurutnya, kedua-dua konsep itu yang diperkenalkan oleh Presiden Gagasan Rakyat merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, pada 2 Mac 2023, bukan sekadar slogan semata-mata, sebaliknya satu falsafah politik yang menekankan semangat perpaduan dan kasih terhadap negeri ini.
“Falsafah ini mengajak seluruh rakyat Sabah untuk saling membantu dan berganding bahu menjaga negeri ini tanpa mengira latar belakang, kaum atau agama. Inilah asas kekuatan sebenar GRS,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nizam menjelaskan, kedua-dua konsep berkenaan turut melengkapi empat teras utama perjuangan GRS iaitu #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper dan #SabahUnited, yang digerakkan berasaskan semangat #SayangiSabah sejak pelancaran rasmi gabungan itu pada 28 Mei 2022.
“Empat teras ini menjadi hala tuju GRS dalam memastikan Sabah ditadbir dengan keutamaan kepada rakyat sendiri, berpandangan jauh serta membangunkan negeri secara menyeluruh dan inklusif,” katanya.
Beliau berkata, pada Julai lalu, semasa Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah, lahirlah pula gagasan #SabahTanahAirku yang memperkukuh lagi semangat cinta dan kesetiaan terhadap negeri ini.
“Tagline #SabahTanahAirku membawa mesej kesinambungan perjuangan GRS – daripada membina rumah yang kukuh untuk rakyat, menjaga negeri dengan kasih, membawa Sabah ke hadapan dengan kemajuan dan menyatukan rakyat demi masa depan yang makmur dan sejahtera,” katanya.
