GRS simbol perpaduan Sabah, bukan ‘Abang Besar’- Aksyah

KOTA KINABALU : Keyakinan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor dalam menerajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh disifatkan sebagai gabungan tulen rakyat Sabah.

Bekas Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Aksyah Nasrah berkata, kebijaksanaan Hajiji dalam menyatukan pelbagai parti dan pemimpin di bawah satu wadah menjadikan GRS sebagai simbol muafakat menjadi cemburu pembangkang.

“Sebagai pemimpin berpengalaman dan berniat suci untuk Sabah, beliau tahu bagaimana menyelesaikan perbezaan pandangan dalam kalangan rakan gabungan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Mengulas kritikan terhadap kerjasama GRS bersama PH Plus dalam formasi politik 50-23, Aksyah menyifatkan naratif yang cuba dibawa pembangkang sebagai cubaan menggugat perpaduan.

“Angka 50 lebih besar daripada 23 – ini bukti dominasi parti tempatan dalam formasi GRS. Namun dominasi ini bukan bermakna sikap ‘Abang Besar’, sebaliknya simbol perkongsian kuasa yang harmoni,” tegasnya.

Tambahnya, penyertaan PH Plus dalam kerjasama tersebut mencerminkan komitmen terhadap kestabilan politik dan kesepaduan negeri, selari dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Aksyah turut menyeru rakyat agar terus menyokong GRS dan tidak terpengaruh dengan janji manis pembangkang yang dianggap tidak realistik.

“27 tahun memerintah, pelbagai masalah masih gagal diselesaikan oleh mereka. Era mereka telah berlalu.

“Kini, GRS membuktikan keupayaan membawa kemajuan dengan dasar yang inklusif dan penyatuan rakyat,” katanya.

Aksyah kini penyokong dan pro-GRS, selepas meninggalkan Perikatan Nasional (PN) Sabah, sebagai tanda keyakinan terhadap gabungan tersebut sebagai masa depan politik negeri.