GRS Bersatu Hadapi PRN, Gagasan Rakyat Komited Sokong Penuh Kepimpinan Hajiji – Nizam

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan sokongan penuh terhadap kepimpinan Ketua Menteri merupakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ketua Penerangannya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, semua komponen GRS kini berada dalam keadaan harmoni dan bersatu, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan gabungan itu menghadapi PRN demi kestabilan dan kesinambungan pembangunan di Sabah.

“Kami menyambut baik kenyataan Ketua Menteri bahawa GRS berada dalam keadaan bersatu padu.

“Sebagai parti tunjang dalam GRS, Gagasan Rakyat komited memastikan kemenangan gabungan ini untuk membawa Sabah ke arah yang lebih maju,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam berkata, pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dari tahun 2021 hingga 2025 telah membuktikan kejayaan dalam meletakkan asas kukuh bagi pembangunan ekonomi, pelaburan, pendidikan dan kesejahteraan rakyat.

“Sabah kini bersedia melangkah ke fasa baharu menerusi SMJ 2.0 (2026-2030).

“Namun kestabilan politik perlu menjadi asas utama bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh,” jelas Nizam.

Menurutnya, isu-isu legasi termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya tidak boleh dibiarkan berlarutan dan memerlukan pentadbiran yang stabil serta mandat kuat daripada rakyat.

“Penyelesaian jangka panjang terhadap isu-isu asas ini memerlukan dasar yang kukuh.

“Komitmen politik yang tinggi dan kesinambungan pentadbiran semua ini hanya dapat dicapai jika GRS terus diberikan kepercayaan memerintah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggariskan bahawa Gagasan Rakyat akan terus memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen GRS dalam menyampaikan mesej perpaduan, kestabilan dan kemajuan kepada rakyat Sabah.

“Kami percaya kestabilan adalah kunci kepada masa depan Sabah yang lebih cemerlang.

“Justeru, rakyat harus bersama memastikan mandat yang kukuh diberikan kepada GRS,” katanya.