KOTA KINABALU : Kerajaan negeri menyeru kepada 21,989 penjawat awam negeri serta 126,677 penjawat awam Persekutuan untuk menjadi pemudah cara kepada rakyat di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, ini khususnya dalam menyampaikan maklumat dasar serta pelaksanaan inisiatif kerajaan agar dapat dinikmati rakyat di peringkat akar umbi.
Katanya, beliau mahu segala mesej kerajaan dapat diperoleh secara lebih berkesan serta dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di seluruh negeri ini.

“Kita mahu biar rakyat semua tahu bahawa kerajaan negeri tidak hanya merancang tetapi melaksana banyak inisiatif pembangunan untuk rakyat Sabah.
“Ini khususnya untuk kesejahteraan negeri dan rakyat. Penjawat awam juga perlu memberikan perkhidmatan yang lebih pantas, cekap, dan berintegriti agar rakyat memperoleh manfaatnya,” katanya.
Hajiji berkata, beliau turut menggesa kepada seluruh rakyat Sabah untuk mengetepikan perbezaan politik sekali gus terus mengukuhkan perpaduan demi kemajuan di negeri ini.
“Kestabilan politik adalah merupakan asas kepada kemakmuran di negeri ini. Marilah kita bersama melangkah ke hadapan dalam semangat solidariti khususnya kepada rakyat di negeri ini.
“Disamping itu mereka sering mengutamakan perpaduan serta pembaharuan komitmen untuk memastikan masa depan rakyat Sabah yang lebih gemilang,” jelas Hajiji.
Sementara itu beliau menegaskan kerajaan negeri menzahirkan komitmen teguh kerajaan negeri untuk terus memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam di Sabah.
“Penjawat awam merupakan tulang belakang kepada kejayaan pembangunan negeri serta pelaksanaan dasar kerajaan di negeri ni.
“Perlu diingat rakyat sedang memerhati. Tingkah laku, tutur kata dan layanan kita kepada rakyat mencerminkan sistem penyampaian kerajaan hari ini,” jelas Hajiji.
Menurutnya, penjawat awam harus menjiwai prinsip MADANI Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan bukan sekadar sebagai slogan, tetapi dalam akhlak dan budaya kerja.
“Kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan mendapat sambutan Rakyat Sabah. Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah yang menarik hampir 485,000 pengunjung.
“Pembentukan 219 Komuniti Madani Sabah dengan peruntukan RM657,000, Inisiatif Ehsan@KUSKOP membabitkan tiga daerah sasaran Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat selain pelbagai wacana dan forum pendidikan untuk memperluas pemahaman Malaysia MADANI,” kata Hajiji.