GRS Apas kecam serangan peribadi, gesa hormati budaya politik Sabah – Nizam

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegur seorang pemimpin muda dari Semenanjung yang didakwa membawa politik serangan peribadi ke Sabah.

Katanya, tindakan menyentuh isu keturunan dan latar keluarga adalah budaya politik yang tidak sesuai dengan nilai politik masyarakat Sabah.

“Sabah ada cara berpolitik yang bertatasusila. Tidak wajar pemimpin dari Malaya datang membawa provokasi,” katanya pada ceramah mini di Batu 4 Jalan Apas.

Nizam berkata kenyataan tersebut menyinggung ramai pihak termasuk komuniti majoriti di Apas.

Beliau menegaskan kempen seharusnya berasaskan dasar, bukan serangan peribadi.

Mengulas manifesto GRS, Nizam memuji cadangan Dana Masa Depan Anak Muda, yang menurutnya membuktikan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor serius membina masa depan belia.

Beliau juga menyatakan kesediaannya memikul peranan lebih besar jika diberikan kepercayaan oleh parti.