Hajiji minta mandat baharu, janji kerajaan adil di bawah GRS

BEAUFORT – Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, memberi jaminan koalisi itu akan mengekalkan pentadbiran yang adil dan saksama sekiranya diberi mandat baharu pada 29 November ini.

Beliau berkata manifesto GRS – berteraskan Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United – menjadi asas agenda pembangunan negeri.

“GRS telah membuktikan kemampuan mentadbir sepanjang lima tahun ini. Kami hanya mohon mandat baharu untuk meneruskan perancangan demi rakyat,” katanya pada program di Dataran Bagandang.

Hajiji menonjolkan pencapaian dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk perkembangan SOGIP yang menurutnya kini terisi sepenuhnya dan bakal memberi limpahan ekonomi kepada kawasan Sipitang, Lumadan dan Klias.

Menolak dakwaan kerajaan GRS mengabaikan kebajikan rakyat, Hajiji berkata pentadbiran itu sedang meneliti cadangan bantuan untuk semua warga emas 60 tahun ke atas jika kembali berkuasa.

Katanya, penerima bantuan kebajikan meningkat dari 30,000 kepada 70,000, manakala 100,000 ketua isi rumah e-Kasih menerima RM300 sebulan.

Beliau menggesa jentera parti meningkatkan usaha memastikan kemenangan calon GRS.