KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) hari ini tampil memberi penjelasan mengenai gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), malam tadi.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir Idris Mohd Noor berkata gangguan bekalan elektrik yang berlaku di lapangan terbang itu adalah disebabkan masalah teknikal dalaman KKIA sendiri.
“Tiada sebarang masalah atau gangguan pada sistem bekalan elektrik dari pencawang elektrik milik SESB yang membekalkan elektrik ke KKIA pada hari kejadian,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Katanya, SESB menerima aduan mengenai gangguan bekalan elektrik di KKIA pada jam 9.38 malam tadi sebelum pemeriksaan segera dijalankan dan mendapati punca bekalan elektrik di Pencawang Pembahagian Utama KKIA adalah normal.
“Pengesahan telah dibuat dengan pihak Pengurusan Bangunan KKIA dan dimaklumkan bahawa kerosakan itu adalah berpunca daripada kerosakan pendawaian dalaman bangunan,” katanya.
Malam tadi, ramai pengguna KKIA berkongsi insiden ‘blackout’ di lapangan terbang itu yang menyebabkan orang ramai terpaksa bergelap selama hampir setengah jam.