KOTA KINABALU: Kembara Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan bermula di Tawau pada 3 September ini.
Daerah itu adalah persinggahan pertama baginda berdua sepanjang lima hari Kembara Kenali Borneo di negeri ini iaitu hingga 7 September depan sebelum meneruskan kembara sama di Sarawak.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata kembara baginda berdua kemudian singgah di Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Ranau, Kota Kinabalu, Penampang dan berakhir di Sipitang.
“Sepanjang di negeri Sabah, beberapa program disusun atur di setiap daerah yang akan dilawati baginda berdua dengan mengetengahkan budaya kita melalui masakan tradisi dan juga hasil kraftangan serta produk yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan.
“Kita juga ingin berkongsi dengan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan untuk melawat ke tempat yang kaya dengan keunikan alam semulajadi dan tamu mingguan yang begitu sinonim dengan masyarakat di negeri ini,” katanya.
Shahelmey selaku menteri pengiring program berkenaan berkata demikian pada sidang media mengenai program itu, semalam.
Menteri Kerja Raya Sabah negeri itu, berkata program kembara Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diatur pihak Istana Negara dengan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah.
Setakat ini, katanya persiapan sudah mencapai 90 peratus bagi memastikan program kembara baginda berdua yang akan melalui jalan persekutuan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo yang sedang dalam pembinaan berjalan dengan lancar dan selamat.
Beliau berkata, program Kembara Kenali Borneo itu amat dinantikan dan seluruh rakyat jelata Sabah mengalu-alukan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan ke negeri ini.
“Besar harapan kami agar program ini dapat merapatkan silaturahim rakyat negeri Sabah dengan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta rombongan. Semoga ianya menjadi kenangan terindah bagi seluruh rakyat negeri Sabah,” katanya.