Pengguna mahu MASB ambil langkah berkesan elak gangguan elektrik di KKIA

KOTA KINABALU: Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) digesa supaya mengambil langkah drastik memastikan gangguan bekalan elektrik di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) tidak berulang.

Ia berikutan kekerapan gangguan elektrik di lapangan terbang itu dengan yang terbaru dilaporkan berlaku malam tadi, menyebabkan bangunan pintu masuk utama Sabah itu bergelap selama hampir setengah sejam.

Difahamkan, masalah itu bukan disebabkan gangguan bekalan elektrik dari luar atau Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), sebaliknya lebih bersifat dalaman di pihak pengurusan lapangan terbang.

Sepanjang tempoh gangguan, difahamkan kira-kira lima ketibaan pesawat, termasuk satu penerbangan antarabangsa mendarat di KKIA menyebabkan situasi menjadi kelam kabut berikutan gelap.

Kejadian itu juga bukan yang pertama, malah situasi sama berlaku pada Februari tahun lalu dengan kejadian berlaku lebih lama, iaitu kira-kira 10 jam membabitkan 14 pelepasan dan 12 ketibaan pesawat.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengguna lapangan terbang meminta MASB mengambil langkah pencegahan termasuk menyediakan pelan alternatif atau kontigensi jika berlaku sebarang masalah bekalan elektrik pada masa depan.

Seorang pengguna yang mahu dikenali sebagai Muhamad berkata, penerbangannya ke Kuching tergendala disebabkan kejadian itu.

“Lapangan terbang antarabangsapun boleh ‘blackout’. Nampak gayanya penerbangan ‘delay’ lah ini,” katanya.

Pengguna lain yang mahu dikenali sebagai Azhar berkata, dia juga pernah mengalami situasi itu sebelum ini dan menyifatkannya tidak boleh diterima sama sekali.

Ramai juga pengguna mengaitkan situasi itu dengan kegagalan kerajaan membekalkan tenaga elektrik yang stabil di Sabah, namun difahamkan ia tidak berkaitan dengan bekalan elektrik disalurkan SESB.

Setakat ini, MASB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu.