KKIA ‘bergelap’ kejadian sangat memalukan kalangan pelancong datang ke Sabah – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU: Kejadian Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) “bergelap” malam tadi akibat gangguan bekalan elektrik merupakan perkara yang sangat memalukan khususnya kepada pelancong yang berkunjung ke Sabah.

Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed berkata, beberapa pelancong menggunakan perkhidmatan KKIA ini turut berkongsi gambar situasi itu di pintu masuk utama pengangkutan udara ke Sabah.

Katanya, faktor ‘bergelap’ ini boleh mengundang imej buruk kepada industri pelancongan apabila ketika ini Sabah merupakan tumpuan utama sektor itu di seluruh rantau ini.

“Saya terkejut apabila menerima kiriman beberapa keping gambar dihantar beberapa rakan yang baru mendarat di KKIA mendakwa seluruh kawasan ini bergelap.

“Selepas kejadian KKIA tiada air sejak beberapa bulan lalu kini timbul pula masalah yang sangat memalukan. Kita bangga dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ) namun kejadian KKIA bergelap malam tadi amat memalukan.

“Apa jaminan KKIA kepada orang ramai agar kedua-dua isu air dan elektrik ini tidak berlaku lagi di dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Sabah News Today hari ini.

Jeffrey Nor berkata, beberapa bulan ini, Qhazanah Sabah Bhd (QSB), cabang pelaburan strategik kerajaan Sabah berkata pembinaan lapangan terbang baharu Sabah di Kimanis akan mengambil masa tiga hingga lima tahun sebaik kerajaan negeri meluluskan pemindahan semula KKIA.

“Sepatutnya kerajaan negeri melalui slogan utamanya SMJ fokus kepada perkara asas rakyat serta bukannya memikirkan kepada projek yang tidak memberi impak kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, ketika ini Sabah News Today sedang mendapatkan maklum balas daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berhubung kejadian KKIA bergelap malam tadi.