KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius isu 14 Pengawal Keselamatan Hospital Beaufort yang tidak menerima penyelarasan gaji maksimum.
Pengarahnya, Dr Asits Sanna berkata pihaknya akan memantau dengan teliti berkenaan perkara ini.
Katanya pada masa kini, kawalan keselamatan perlindungan di Hospital Beaufort adalah tidak terjejas dengan jumlah pengawal keselamatan yang mencukupi dan perkhidmatan rawatan masih berjalan seperti biasa.
“Jabatan ini berharap agar kemelut antara kedua belah pihak ini dapat diselesaikan dengan segera dan adil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sabah News Today sebelum ini melaporkan sejumlah RM281,989.72 tuntutan membabitkan 14 Pengawal Keselamatan bertugas di Hospital Daerah Beaufort selepas penyelarasan gaji minimum serta kerja lebih masa tidak dijelaskan oleh majikan mereka sejak Mei tahun lalu.
Asits menjelaskan perkhidmatan kawalan keselamatan perlindungan di hospital-hospital kerajaan di negeri Sabah adalah melalui pemeteraian kontrak bersama syarikatsyarikat sekuriti swasta yang layak dan memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan.
Katanya seiring dengan pengumuman kerajaan berkenaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 yang menetapkan kadar gaji minimum baharu seorang pekerja dinaikkan daripada RM 1,200.00 kepada RM 1,500.00 sebulan berkuat kuasa mulai 2022, jabatan ini telah mengarahkan kepada semua syarikat sekuriti yang memeterai kontrak bersama jabatan ini untuk menghantar permohonan bertulis bagi perlarasan harga Kontrak Kerajaan yang baharu.
Namun begitu, katanya, jabatan ini tidak menerima sebarang permohonan bertulis dari syarikat sekuriti yang bertanggungjawab ke atas kawalan keselamatan perlindungan di Hospital Beaufort.

