KOTA KINABALU : Semua ahli Parti Gagasan Rakyat Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Likas digesa untuk memantapkan usaha memperkukuhkan jentera parti itu sekali gus meningkatkan bilangan ahli di setiap cawangan.
Ketua Bahagiannya, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata, ini untuk memastikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal menjadi tampuk pimpinan di Negeri Sabah.
Katanua, parti ini akan menjadi wadah perjuangan untuk rakyat berdasarkan aspirasi rakyat mahukan perubahan dalam pelbagai aspek politik seperti ketelusan, integriti serta mengambil berat terhadap nasib rakyat Sabah.
“Seperti dinyatakan Presiden Parti, Datuk Seri Hajiji Noor sering katakan, “rumah kita, kita jaga,” yakinlah dengan parti ini.
“Oleh itu, saya menggesa semua ahli Gagasan Rakyat Likas untuk memantapkan usaha bagi memperkukuhkan jentera parti dan meningkatkan bilangan ahli di setiap cawangan. Kita perlu memastikan GRS kekal menjadi tampuk pimpinan di Negeri Sabah,” katanya di sini semalam.
Seramai 271 perwakilan terdiri daripada ketua bahagian, pemuda, wanita, beliawanis menghadiri mesyuarat itu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas merangkap Pembantu Menteri Kewangan II, Tan Lee Fatt.
Bahrin berkata, persidangan kali kedua parti Gagasan Rakyat Bahagian Likas hari ini turut mendapat sambutan menggalakkan dari semua lapisan masyarakat.
“Gagasan Rakyat Bahagian Likas sudah berusia setahun dan tahun ini kita berkumpul dan bersidang untuk kali keduanya.
“Inilah adalah bukti Gagasan Rakyat yang kian menjadi pilihan rakyat Sabah untuk menyertai politik tempatan dan penerimaan masyarakat Sabah,” jelas Bahrin.
Menurutnya, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Gagasan Rakyat Bahagian Likas dan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis kerana berjaya mengadakan Mesyuarat Tahunan ini.
“Sesungguhnya, mesyuarat ini adalah penting kerana Gagasan Rakyat Likas sentiasa mempersiapkan diri untuk membantu Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah yang akan datang,” tegasnya.