Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut punya 4,000 ahli, tidak terima ahli parti lain dalam GRS

SANDAKAN: Bahagian Kuamut merekodkan lebih 4,000 ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) termasuk 1,000 keahlian baharu yang sedang dalam proses pendaftaran.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, setakat ini terdapat 55 cawangan parti itu telah dibentuk menerusi 12 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya lima cawangan lagi yang mempunyi kira-kira 1,000 ahli akan didaftarkan ke ibu pejabat parti sebelum akhir tahun ini.

Lima cawangan baharu Gagasan Rakyat yang akan didaftarkan itu ialah cawangan Jesselton Kota Kinabalu, Ruminding, Lumandai, Kimanimus, dan Bobuluh katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut di sini, kelmarin.

Masiung berkata, cawangan Alitang dalam PDM Penangah merekodkan pendafatran ahli paling ramai iaitu 173 orang, diikuti cawangan Entilibon Asal 129 dan Penangah 109 ahli.

“Kami telah menubuhkan satu jawatankuasa khas keahlian, dan tidak menerima ahli yang telah berdaftar dengan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kita dalam Gagasan Rakyat mempunyi sistem yang cekap bagi mengenalpasti keahlian individu supaya tidak berlaku sebarang pertindihan ahli dari parti lain dalam GRS.

“Sebaliknya, sasaran kami adalah meraih sebanyak mungkin ahli-ahli daripada parti pembangkang terutama dari UMNO, Parti Warisan Sabah dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM).

Masiung yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat Negeri, tidak menolak ramai ahli-ahli parti pembangkang telah beralih arah kepada Gagasan Rakyat.

Beliau menjelaskan kebanyakan individu terutama ahli-ahli UMNO, Warisan dan PKDM datang sendiri ke pejabat parti untuk menyertai Gagasan Rakyat.

“Kita tidak boleh menolak penyertaan mereka kerana ia pilihan mereka sendiri mau beralih arah kepada Gagasan Rakyat.

“Sebahagian ahli pembangkang itu telahpun membentuk cawangan Gagasan Rakyat sebagai solidariti bahawa mereka menolak parti dalam blok pembangkang.

“Kalau di kawasan Kuamut kita bagi syarat supaya setiap permohonan menjadi ahli parti mereka hendaklah mengemukakan salinan kad pengenalan yang disahkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membolehkan kita dapat mengesan status keahlian mereka sebelum menandatangani sendiri borang keahlian dalam Gagasan Rakyat,” kata Masiung.