YBR dan INDEP Education Foundation laksana program BEST untuk 390 pelajar, 90 guru di Penampang

PENAMPANG : Komited dalam memartabatkan bahasa sebagai salah satu cabang pendidikan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama INDEP Education Foundation (IEF) telah mengadakan Program ‘Be English Speaker Today For A Better Tomorrow’ (BEST) di sini, semalam.

YBR di dalam satu majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Moyog Penampang telah membuat pelancaran Program BEST dimana program ini melibatkan 390 murid dan 90 guru sekolah di sekitar luar bandar di Sabah yang akan di jalankan di sembilan lokasi yang ditetapkan.

Majlis pelancaran Program BEST ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Objektif program ini adalah bagi memupuk pelajar untuk menghargai Bahasa Inggeris dan terus memacu untuk meningkatkan kefasihan dan ketepatan Bahasa Inggeris mereka serta membangunkan keyakinan pelajar dalam menyatakan diri mereka dengan berkesan melalui Bahasa Inggeris secara formal atau tidak formal.

Majlis pelancaran Program BEST ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengerusi YBR Datuk Philip Benedict Lasimbang, Pengerusi INDEP Education Foundation (IEF) Tan Sri Bernard Dompok, Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu, Ewon berkata, sokongan padu YBR dalam membantu tahap pendidikan dikalangan anak-anak Sabah dalam menangani jurang pendidikan serta mewujudkan input linguistik dikalangan pelajar samada di bandar atau di luar bandar amatlah dihargai.

“Guru-guru berpengalaman turut terlibat dalam program ini bagi memastikan pelajar yang menyertai program ini dapat memperkasa dan menguasai Bahasa Inggeris,” katanya.

Di dalam majlis yang sama, Philip Benedict berkata, beliau amat menyokong segala bentuk program pendidikan bagi meningkatkan pengetahuan pelajar-pelajar terutamanya di Sabah melalui pemerkasaan tahap pendidikan.

“Penganjuran Program BEST ini merupakan salah satu langkah alternatif dalam membantu tahap penguasaaan Bahasa Inggeris dikalangan pelajar sekolah serta mewujudkan persekitaran yang kompeten di sekolah.

“Melalui BEST, ia dapat mengembangkan usaha dalam memastikan tahap pengunaan bahasa antarabangsa diberikan kepada semua peringkat terutamanya pelajar sekolah.

“Selain itu faktor guru-guru juga memainkan peranan yang penting kerana mereka perlu menyediakan modul pembelajaran dan ini merangsang penggunan bahasa serta kefasihan bertutur dan tahap penguasaan Bahasa Inggeris,” kata Philip Benedict.