Ewon sampaikan jentera penuai padi di Kg Tambatuon

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyampaikan jentera penuai padi sawah kepada petani di Kg.Tombotuon, di sini.

Penyerahan jentera penuai padi atau mini combine harvester itu disampaikan oleh Ewon kepada Pengerusi Penanam Padi Sawah Secara Organik Margerat Darusin, di kampung itu, kelmarin.

Jentera itu dibina oleh Tonibung, Pusat Inovasi CREATE Borneo, di Kampung Nampasan Penampang sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang diterajui oleh Adrian Lasimbang dengan menggunakan peruntukan khas Ewon selaku menteri yang disalurkan melalui Persatuan Suara Anak Negeri Sabah.

Peruntukan sebanyak RM50,000 itu digunakan untuk membina jentera penuai padi dan pengering tuaian padi serta mengadakan bengkel latihan untuk operasi jentera berkenaan.

Ewon berkata, ia adalah tanda sokongan beliau kepada pusat inovasi tersebut membangunkan jentera-jentera pertanian yang diperlukan rakyat serta membantu menyelesaikan keperluan pesawah-pesawah padi di Tambatuon

“Semasa melancarkan program penanaman padi organik di Kg Tambatuon, saya dimaklumkan salah satu cabaran mereka adalah ketiadaan jentera penuai padi. Kemudian pada awal tahun ini, saya telah melawat CREATE Borneo iaitu satu badan NGO yang membangunkan pelbagai inovasi termasuk jentera penuai padi.

“Justeru, saya telah menyalurkan sejumlah peruntukan kepada pusat ini untuk membangunkan inovasi jentera penuai padi khas untuk komuniti pesawah padi Kg Tambatuon. Saya ucapkan tahniah kepada Adrian Lasimbang selaku innovator yang memastikan keperluan ini dapat dijayakan,” katanya.

Selain penyampaian jentera tersebut, Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoint RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kg Tambatuon bagi program gotong-royong menyelenggara dan membaiki kerosakan jambatan gantung di kampung tersebut.