KOTA BELUD : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu sambutan Pesta Kaamatan dijadikan sebagai platform penggerak keusahawanan.
Katanya, ini kerana sambutan Pesta Kaamatan yang diadakan di pelusuk negeri termasuk di kawasan luar bandar dihadiri ramai pengunjung.
“Saya berharap Kaamatan ini bukan hanya sebagai platform untuk rakyat Malaysia di Sabah untuk meraikan kepelbagai budaya atau warisan kebudayaan, bahasa dan pakaian dan makanan tradisional tetapi juga platform menggerakkan keusahawanan.
“Sebab itu kita menjemput agensi-agensi di bawah kementerian untuk menyampaikan ceramah dan penerangan mengenai maklumat agensi masing-masing supaya ia sampai ke peringkat akar umbi,” katanya di sini hari ini.
Ewon berkata, selepas Kaamatan ini masyarakat luar bandar mendapat ruang untuk menjadi usahawan atau menubuhkan koperasi.
“Program dua dalam satu ini memberikan lebih banyak manfaat kepada para pengunjung, kerana selain dapat menikmati persembahan-persembahan menarik sepanjang sambutan Kaamatan, mereka juga memperolehi maklumat penting mengenai keusahawanan dan koperasi,” jelas Ewon.