TAWAU: OP Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM menahan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan semak (Laluan Tikus), jalan pantai Tawau Lama, dekat sini, malam tadi.
Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kesemua mereka ditahan ketika sedang bersembunyi di kawasan semak, dipercayai hendak balik ke negara asal mereka melalui laluan yang tidak diwartakan.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 12.10 tengah malam itu, di mana sepasukan anggota OP Cegah Pati (OCP) Daratan ESSCOM yang terdiri 8 anggota Quick Response Force (QRF) daripada Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 sedang dalam tugas rondaan cegah jenayah melihat beberapa orang dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki dewasa, enam perempuan dewasa serta dua kanak-kanak perempuan sedang bersembunyi di kawasan semak dipercayai menunggu bot untuk balik ke negara asal mereka di Indonesia”.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah”, katanya.
“Tiada rampasan barang-barang yang menyalahi undang-undang dijumpai bersama-sama dengan mereka.”
“Kesemua mereka yang berumur di antara 6 bulan hingga 54 tahun itu telah di bawa ke ibu pejabat polis daerah Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002),” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fuad Othman merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota keselamatan khususnya kepada Angkatan Tugas Bersama (ATB) 2 dari Kem Kukusan Tawau yang telah terlibat dalam menjayakan operasi berkenaan.
ESSCOM akan sentiasa mengatur gerak operasi keselamatan di kawasan daratan dan laut bagi mencegah dan membanteras aktiviti penyeludupan migran serta kemasukan pati selain memantau pergerakan kegiatan militan serta Kidnapping for ransom group (KFRG) yang dilihat menjadi ancaman keselamatan kepada negeri ini.
Operasi-operasi seumpama ini akan sentiasa digerakkan 24 jam tanpa henti dengan kerjasama dan sokongan semua pasukan keselamatan di kawasan ESSZONE bagi memastikan semua aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk kegiatan culik untuk tebusan dapat dibanteras dengan jayanya.