TAWAU: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) komited menguatkuasakan dan membanteras penyalahgunaan pambot, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
Susulan itu, ESSCOM hari ini, telah mengkoordinasikan Operasi GASAK Laut (Pambot) di sekitar perairan sepanjang Batu 3 sehingga Batu 5, Tawau bagi membendung penyalahgunaan pambot yang sering digunakan oleh penjenayah rentas sempadan untuk aktiviti penculikan, rompakan, penyeludupan dan pengeboman ikan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).
Komander ESSCOM DCP Victor Sanjos berkata hasil operasi yang dilaksanakan secara bersepadu melibatkan tindakan seramai 96 pegawai dan anggota oleh Jabatan serta agensi penguatkuasaan dan keselamatan Persekutuan dan Negeri Sabah ini.
Katanya sebanyak 13 buah pambot telah diperiksa, melibatkan seramai 26 orang individu.
Menurutnya daripada jumlah tersebut, sebanyak lima buah pambot dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala seramai empat orang PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut, katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata ESSCOM memandang serius berhubung perkara ini dan Operasi GASAK Laut (Pambot) yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI.