PAPAR: Akibat kenderaan mengalami kerosakan enjin empat lelaki terselamat selepas kenderaan mereka dirempuh kereta api berhampiran Kampung Anak, Kinarut, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superitendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, akibat pertembungan itu, seorang lelaki merupakan pemandu kenderaan berusia 42 tahun mengalami cedera ringan pada bahagian kepala manakala penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, siasatan mendapatii kejadian berlaku jam 6.05 petang, semasa berada pada jarak 20 meter, pemandu kereta api meyedari kehadiran sebuah kenderaan berada di atas laluan kereta api.
“Pemandu kereta api telah membunyikan hon semasa menghampiri ‘gate perumahan’ di kawasan berkenaan kemudian pemandu kereta api cuba untuk menekan brek namun, kereta api gagal berhenti kerana jarak yang terlalu dekat hingga menyebabkannya melanggar van Perodua Rusa berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, terdapat palang bagi menutup laluan kenderaan semasa kereta api melintas. Namun, kedua-dua palang di kawasan itu tidak berfungsi sejak 2019.
“Penjaga palang iaitu seorang lelaki berusia 44 tahun yang bertugas menjaga kawasan tersebut didapati tidak memakai vest serta tidak menggunakan lampu isyarat tangan atau bendera isyarat tangan untuk menahan kenderaan agar tidak melintasi laluan kereta api pada waktu tersebut.
“Penjaga palang yang berada di sebelah kanan pondok hanya dapat menahan kenderaan dari satu lorong sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamaruddin berkata, berdasarkan keterangan pemandu van Perodua Rusa, dia tidak menyedari kehadiran kereta api semasa sedang melalui landasan kereta api tersebut. Malah, palang keselamatan juga tidak diturunkan.
Menurut pemandu van itu, kenderaan dipandu mengalami kerosakan enjin menyebabkan ia berhenti di atas landasan.
Pemandu kenderaan serta tiga penumpang lain terselamat kerana sempat melarikan diri daripada van tersebut sebelum perlanggaran berlaku.
Susulan itu, polis bertindak menahan penjaga palang bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri orang lain.
Orang awam dinasihatkan melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kes ini dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar, Inspektor Wong Yew Zhung di talian 010-5635169.