Ellron ziarah keluarga mendiang Sansiah yang maut akibat dibakar suami

KENINGAU : Menteri Belia dan Sukan Negeri Datuk Ellron Angin menziarahi keluarga mendiang Sansiah Tinggian di Kampung Sook Station, Sook , kelmarin.

Mendiang Sansiah maut pada Ahad lalu selepas 16 jam bertarung nyawa di Hospital Keningau, Sabah.

Mendiang maut disebabkan oleh perbuatan suaminya yang membakarnya di satu kediaman di Kampung Tinagalan Laut, Sook.

Insiden menyayat hati itu turut menyebabkan kediaman mereka musnah terbakar dan ketiga-tiga anaknya yang masih bersekolah iaitu Alviana (16 tahun), Agnes Monica (13 tahun) dan Anggela Rita (7 tahun) kini hidup sehelai sepinggang kerana peralatan sekolah dan dokumen-dokumen penting turut hangus.

Selain sumbangan kewangan kepada keluarga yang terkesan, Ellron yang juga wakil rakyat Sook, telah mengarahkan Pengawai Pembangunan Masyarakat Sook Tony Talasoi untuk mengatur pembelian peralatan sekolah dan keperluan lain bagi meringankan bebanan keluarga.

Sempat berbual-bual dengan anak-anak mendiang, Ellron turut memberikan kata-kata positif kepada mereka agar tetap kuat dan tabah menghadapi saat-saat sukar ini.