LABUAN : Pos Kawalan Kastam yang terletak dikawasan perindutrian syarikat Asian Supply Base (ASB) Sdn. Bhd yang siap sepenuhnya pada Disember lalu mampu meningkatkan pengoperasian industri minyak dan gas di pulau ini.
Selain itu, ia juga mampu untuk meningkatkan penguatkuasaan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam sektor minyak dan gas.
Pembinaan bangunan Pos Kawalan yang bernilai RM270,000 itu dilengkapi dengan ruang pejabat yang boleh menempatkan empat pegawai Kastam, ruang solat dan tandas.
Sementara itu, majlis penyerahan bangunan Pos Kawalan yang berkeluasan 42 kaki persegi itu telah diserahkan secara rasmi kepada JKDM oleh pihak ASB Sdn. Bhd, dalam satu majlis ringkas di kawasan bangunan tersebut, semalam.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASB. Sdn. Bhd. Japar Estaban secara simbolik menyerahkan kunci Pos kawalan itu kepada Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah Datuk Mohd Nasir Deraman yang turut disaksikan oleh Pengarah JKDM Wilayah Persekutuan Labuan Aspalila Ag. Tuah dan Timbalan Pengarah (Bahagian Operasi Pematuhan) JKDM Mohd Sukri Jusoh.
Terdahulu, Mohd Nasir bersama rombongan telah diberikan taklimat mengenai aktiviti yang dijalankan di ASB termasuk aktiviti pertukaran kru oleh pihak pengurusan syarikat logistik berkenaan sebelum melakukan tinjuan ke kawasan bangunan tersebut.