KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan sejumlah 52 pelaburan membabitkan nilai keseluruhan RM17.42 bilion bermula 2021 sehingga tahun lalu.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pada suku pertama tahun 2025, sejumlah RM10.9 bilion jumlah pelaburan diluluskan di negeri Sabah.
Katanya, sepanjang tahun 2021-2024 Sabah menerima pelaburan sebanyak 420 projek dengan nilai sejumlah RM35.38 bilion.
“Ini merangkumi pelaburan domestik iaitu RM20.61 bilion dan pelaburan asing iaitu RM14.77 bilion.
“Pada tahun 2024 dan 2023, pelaburan domestik melebihi pelaburan asing masing-masing iaitu tahun 2024, RM5.37 bilion bagi pelaburan domestik berbanding pelaburan asing RM1.08 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Ini berkaitan kejayaan dicapai oleh Kerajaan Negeri dalam Tiga Fokus utama Ekonomi, Modal Insan dan Kelestarian Rakyat melalui Pelan Pembangunan Sabah dimulakan sejak 2021.
Nizam berkata, pada tahun 2023 juga pelaburan domestik ialah berjumlah RM11.21 bilion melebihi pelaburan asing yang hanya RM0.13 bilion.
“Pelaburan luar negeri ini menjurus kepada pengkhususan dalam sektor khas seperti pembuatan kerajang tembaga, panel solar, minyak dan gas, besi keluli dan lain-lain.
“Manakala, pelaburan domestik Sabah mencatatkan kejayaan signifikan dalam menarik pelaburan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri pada tahun 2021 hingga 2024,” jelas Nizam.
Menurutnya, selaras dengan itu Kerajaan Negeri merancang menubuhkan tiga taman perindustrian baharu, iaitu Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat, Taman Perindustrian Bersepadu di Kota Belud dan Kota Marudu serta Taman Perindustrian Bersepadu di kawasan Beaufort, Kimanis.
“Hala Tuju Sabah Maju Jaya – Pelan Pembangunan SMJ 1.0 (2021-2025) telah berjalan dengan jayanya.
“Setakat Mei 2025, purata pencapaian keseluruhan Laporan Inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang disediakan oleh Sekretariat Sabah Maju Jaya ialah 94 peratus daripada 467 inisiatif.
“Sebanyak 366 inisiatif telah mencapai markah 100 peratus. Pertumbuhan ekonomi negeri Sabah sentiasa bergerak secara positif dan bertambah setiap tahun,” katanya.
Nizam berkata, pada tahun 2020 adalah berjumlah RM77.8 bilion; 2021 berjumlah RM78.7 bilion; 2022 berjumlah RM82.1 bilion; 2023 berjumlah RM83.2 bilion dan 2024 berjumlah RM84.3 bilion.
“Jumlah perdagangan negeri Sabah melepasi angka RM100 bilion pada tahun 2022 dengan mencatatkan jumlah perdagangan tertinggi iaitu berjumlah RM118 bilion, meningkat sebanyak RM30.8 bilion berbanding jumlah perdagangan yang direkodkan iaitu RM87.2 bilion pada tahun 2021,” tegasnya.
