DUN Sabah Lulus RUU Perbekalan Tambahan 2025 Berjumlah RM1.18 Bilion

KOTA KINABALU : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2025 berjumlah RM1,186,923,403 bilion bagi memastikan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri serta pelaksanaan program dan projek rakyat sehingga hujung tahun ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun membentangkan usul itu berkata, daripada jumlah tersebut, RM600 juta atau 51 peratus adalah untuk Caruman kepada Kumpulan Wang Berkanun, manakala RM204 juta (17 peratus) bagi perbelanjaan pentadbiran dan RM195 juta (16 peratus) bagi perbelanjaan operasi.

“Tambahan ini penting bagi melancarkan operasi pentadbiran Kerajaan Negeri sehingga akhir tahun ini. Ia juga mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu keperluan rakyat termasuk air dan jalan raya.

“Sejumlah RM789.1 juta dikawal oleh Kementerian Kewangan, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Amanah dan Pembangunan, pelaksanaan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), serta bantuan tunai dan subsidi kepada pelajar melalui inisiatif seperti BUDI, SENTOSA, SUBFLY dan SUKSES,” katanya

Masidi berkata, sejumlah RM185.5 juta diperuntukkan kepada Perkhidmatan Am Perbendaharaan termasuk pelaburan ekuiti, pembaikan infrastruktur awam, pembersihan kawasan perairan Kota Kinabalu, serta sumbangan kepada NGO.

Turut menerima peruntukan tambahan ialah Kementerian Kerja Raya (RM147.6 juta), Jabatan Ketua Menteri (RM94.4 juta), Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (RM55.7 juta), serta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (RM25.9 juta).

Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat pula disyorkan peruntukan tambahan sebanyak RM16.2 juta, termasuk pembelian 100 mesin hemodialisis dan bantuan kepada mangsa bencana serta golongan memerlukan.

“Sebahagian besar daripada tambahan ini adalah untuk menangani dua isu utama iaitu bekalan air dan jalan raya.

“Jumlah peruntukan bagi tujuan ini mencecah RM523.5 juta, bukti kesungguhan kita menyelesaikan masalah yang kerap dibangkitkan rakyat,” jelas Masidi.

Bagi Anggaran Pembangunan Tambahan, agihan terbesar berjumlah RM254.9 juta disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya Sabah bagi membiayai pelbagai projek seperti jalan raya, bekalan air luar bandar, pembetungan dan pembaikan rel keretapi.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar menerima agihan kedua tertinggi iaitu RM82.5 juta bagi projek kecil luar bandar, program pembasmian kemiskinan dan bekalan elektrik dan air alternatif di kawasan pedalaman.

Jabatan Ketua Menteri menerima RM38.5 juta untuk projek pembangunan khas termasuk pengukuran tanah hak adat (NCR), manakala kementerian lain turut menerima peruntukan bagi pembangunan industri, kemudahan sukan, OKU, pelancongan dan warisan budaya.

Masidi berkata, walaupun jumlah tambahan ini besar, ia adalah perlu untuk memastikan pembangunan berterusan dan keperluan asas rakyat terus dipenuhi tanpa gangguan.

RUU Perbekalan Tambahan 2025 itu kemudian diluluskan selepas dibahas oleh lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri.