Isu Banjir Taman Wijaya Manggatal Perlu Ditangani Segera Sebelum DUN Sabah Dibubarkan – Azhar

KOTA KINABALU : Kerajaan perlu menyelesaikan segera masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk Taman Wijaya Manggatal sejak lima tahun lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin berkata, berdasarkan aduan dalam kalangan penduduk serta pemerhatian lapangan, masalah banjir ini berhubung kait l dengan isu Sungai Rampayan, Manggatal.

Katanya, saluran parit utama di setiap lorong Taman Wijaya mengalami mendapan tanah yang teruk sehingga mengakibatkan aliran air tersekat setiap kali hujan lebat berlaku.

“Lebih membimbangkan, beberapa lawatan kerja dilakukan wakil kerajaan sebelum ini, tiada penyelesaian kekal dilaksanakan oleh mereka.

“Penduduk terus menderita,  rumah hampir tenggelam, harta benda rosak manakala rutin harian penduduk sering kali terganggu setiap kali tiba musim hujan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan Penyata Tambahan Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Azhar berkata, tindakan drastik oleh pihak terbabit perlu dijalankan dalam tempoh terdekat sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

“Antaranya, kerja-kerja pembersihan segera serta mengukuhkan sistem saliran di kawasan terjejas, termasuk membabitkan Sungai Rampayan perlu dilaksanakan segera.

“Ini termasuk audit teknikal secara lebih dilakukan secara menyeluruh oleh pihak berwajib untuk mengenal pasti punca sebenar serta penyelesaian untuk jangka panjang,” jelas Azhar.

Menurutnya, dalam masa sama mereka perlu melaporkan secara berkala kepada orang awam tentang langkah yang diambil untuk memastikan penyelesaian yang boleh dilakukan segera.

“Tindakan ini bukan sekadar isu infrastruktur, malah isu kemanusiaan membabitkan penduduk Taman Wijaya Manggatal yang sudah bersabar berkaitan isu dialami mereka sejak selama lima lalu.

“Penduduk tidak mahu lagi mendengar janji yang berulang-ulang, malah mereka mahukan solusi dan tindakan seger.” kata Azhar.

Selain itu juga beberapa langkah penyelesaian secara drastik terhadap masalah banjir di Kg. Kembirian, Kg. Dambai Manggatal, Taman Wijaya Manggatal, Dombung, Seradan, Rampayan dan kampung – kampung di sekitarnya perlu dilaksanakan segera.

“Saya bersama penduduk kampung secara umumnya berpendapat punca utama masalah banjir di kawasan ini adalah keadaan sungai yang cetek dan sempit selepas jambatan Jalan UMS.

“Di sepanjang jajaran sungai ini perlu didalamkan dan dilebarkan bagi melancarkan aliran air sungai tersebut menuju ke kuala sungai.

“Tanpa tindakan ini, kami juga berpendapat, apa jua tindakan yang telah dan akan dilakukan, di setiap kawasan yang terkesan tidak akan menyelesaikan masalah utama selagi kerja-kerja pendalaman dan pelebaran sungai berkenaan tidak dilaksanakan,” tegas Azhar.