KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri menggunakan data miskin tegar dikunci (LF) serta Data Dinamik bagi pengurusan pembasmian miskin tegar di Sabah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, data miskin tegar dikunci pada Januari 2023 Kerajaan Persekutuan bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Negeri Sabah Fasa Satu Tahun 2024.
Katanya, Data Dinamik sentiasa berubah mengikut masa dalam pangkalan data e-Kasih manakala sehingga September 2024, Sabah merekodkan seramai 68,089 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin.
“Seramai 3,978 KIR, berstatus miskin tegar. Jumlah keseluruhan KIR Miskin dan Miskin Tegar seramai 72,067 dan melibatkan 265,335 Ahli Isi Rumah (AIR). Kedua-dua data adalah berdasarkan pangkalan data kemiskinan nasional iaitu e-Kasih.
“Inisiatif Kerajaan Negeri untuk menoktahkan miskin tegar di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0 berjaya disifarkan pada 31 Julai 2024 yang lalu.
“Ini dibawah Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Satu 2024 merupakan pemurnian data dikunci pada Januari 2023 melibatkan seramai 22,510 KIR dan 94,315 AIR,” katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum [Telupid] yang ingin tahu apakah status perkembangan bagi inisiatif Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan di negeri Sabah melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 1.0.
Nizam berkata, data dinamik sehingga September 2024 diperoleh daripada sistem pangkalan data e-Kasih menunjukkan seramai 3,978 KIR masih berstatus miskin tegar.
“Perubahan status ini dipengaruhi pelbagai faktor termasuk perubahan bilangan ahli isi rumah, perubahan pendapatan, bantuan diterima atau ditamatkan serta perubahan maklumat lain seperti meninggal dunia dan berpindah ke negeri lain.
“Kerajaan Negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya sedang dalam proses menjejaki KIR tidak berdaftar dalam pangkalan data e-Kasih layak mendapatkan intervensi bantuan,” jelas Nizam.
Menurutnya, berdasarkan kerja-kerja profiling di lapangan dilaksanakan pasukan petugas Sekretariat Sabah Maju Jaya merekodkan seramai 268 KIR tiada dalam daftar pangkalan data e-Kasih.
“Bagi Program Menoktahkan Miskin Tegar Fasa Dua Tahun 2025, Kerajaan Negeri komited serta berusaha bukan sahaja dalam menangani isu miskin tegar tetapi bersekali dengan kategori miskin.
“Pembancian dan pemantauan kepada KIR serta AIR akan diteruskan ke atas nama tersenarai dalam Locked Figure Fasa Satu Tahun 2024 dan Data Dinamik dalam pangkalan data e-Kasih.
“Perhatian akan diberikan kepada KIR serta AIR tercicir dalam senarai e-Kasih untuk didaftar masuk ke dalam sistem PADANS bagi tujuan intervensi bantuan yang bersesuaian,” kata Nizam.
