DUN Sabah: RM2.53 bilion kos pembayaran pengambilan tanah projek Pan Borneo Fasa 1 di Sabah

KOTA KINABALU : Kerajaan membelanjakan sejumlah RM2.53 bilion kos keseluruhan pembayaran pengambilan tanah bagi projek Pan Borneo Fasa 1 di negeri ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, secara totalnya ini boleh dibahagikan kepada Fasa 1A  iaitu berjumlah RM 1.32 bilion manakala Fasa 1B iaitu RM 1.21 bilion.

Katanya, pembayaran pampasan tanah kepada pemilik tanah adalah diselesaikan melalui tatacara ditetapkan Jabatan Tanah dan Ukur termasuk pewartaan, penilaian, pemberian tawaran, penerimaan tawaran daripada pemilik tanah serta seterusnya proses pembayaran.

“Berdasarkan pengalaman dilalui dalam pelaksanaan pakej-pakej kerja dalam Fasa 1A, apabila Surat Setuju Terima baru-baru dikeluarkan kepada pakej kerja Fasa 1B.

“Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya Sabah membentuk satu Jawatankuasa Pemandu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Dilantik) Datuk Yong Teck Lee bertanya) Apakah masalah pengambilan tanah dalam projek ini masa kini serta Apakah anggaran pampasan yang dibayar oleh Kerajaan kepada pemilik-pemilik tanah yang terlibat.

Shahelmey merupakan Timbalan Ketua Menteri III berkata, cabaran besar dalam projek Lebuhraya Pan Borneo adalah pengambilan tanah terutamanya tanah yang dibawah hak milik adat.

“Tanah dimiliki indvidu komuniti berdasarkan hak adat (Native Customary Right – NCR) memerlukan proses yang lebih panjang, kerana ia memerlukan mendapat kelulusan daripada pemilik tanah serta persetujuan secara perundangan.

“Selain daripada itu, kekurangan sumber manusia (tenaga kerja) dipihak Jabatan Tanah dan Ukur Sabah dalam sudut membuat penilaian juga menyumbang kepada kelewatan proses penilaian dan pengambilan tanah,” jelas Shahelmey.