DUN Sabah: Bangunan Menara 11 Tingkat milik MPS dinaik taraf dalam tempoh terdekat

KOTA KINABALU : Kerajaan akan menjalankan kerja-kerja menaik taraf kemudahan infrastruktur Bangunan Menara 11 tingkat, milik Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), terletak di bandar Sandakan.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, ini bagi dijadikan bangunan menara sebagai aset strategik yang berpotensi menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi di Sandakan.

Katanya, pihak MPS akan melaksanakan pemasangan kemudahan sistem CCTV, pencahayaan serta kemudahan keselamatan di seluruh kawasan ini.

“Selain itu MPS akan berusaha untuk mengoptimumkan penggunaan bangunan ini disamping sedang mengkaji model pengurusan aset lebih bersesuaian dan berkesan untuk kemudahan jangka masa panjang.

“MPS akan memperkenalkan Model Sewa Pajakan dengan membabitkan Kerjasama Awam-Swasta untuk menjadikan bangunan ini sebagai pusat ekonomi jangka panjang dengan pelaburan swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Sabah ke-16, di sini hari ini.

Isnin berkata, MPS akan menawarkan pakej sewaan yang kompetitif kepada syarikat korporat atau pelabur bagi menjadikan bangunan ini sebagai pusat komersial utama di Sandakan.

“Ini termasuklah menjalin kerjasama pintar dengan sektor swasta dalam membangunkan kemudahan serta perkhidmatan yang lebih menarik dalam jangka masa panjang.

“Cadangan ini akan mampu menjana pendapatan tambahan kepada MPS untuk menambah pendapatan hasil melalui hak pengiklanan di ruang papan iklan Menara tersebut,” jelas Isnin.

Menurutnya, kementeriannya berharap dibawah pengurusan baharu MPS komited untuk memperkasakan bangunan Menara ini untuk menjadi aset produktif.

“Ini termasuk meningkatkan kadar penggunaan, menarik lebih banyak aktiviti ekonomi serta memastikan bangunan ini memberi pulangan optimum kepada MPS.

“Langkah ini akan menjadi salah satu pemangkin kepada usaha menghidupkan kembali pusat bandar Sandakan sebagai Central Business District (CBD) berfungsi sebagai hub ekonomi  lebih dinamik dan berdaya saing.