Dua pelajar Labuan di UNISZA terima biasiswa tajaan Yayasan Wilayah Persekutuan

LABUAN: Dua pelajar anak jati Wilayah Persekutuan Labuan  yang kini melanjutkan pelajaran ke  Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) menerima  bantuan Skim Biasiswa Pengajian Tinggi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Penyerahan cek yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan yang juga Ahli Lembaga Pengarah YWP Rithuan Mohd Ismail di pejabatnya Wisma Perbadanan Labuan, semalam.

Penerima pertama Emillian Eron Mikat merupakan pelajar tahun 4 Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubtan di UNISZA menerima biasiswa berjumlah RM35,000, cek diterima oleh ibunya Jennifer Anselmus.

Manakala seorang lagi penerima Mohd Azri Abidin pelajar tahun 3 Ijazah Sarjana Muda  Sains Kesihatan (Kepujian) UNISZA menerima  tajaan biasiswa berjumlah RM 34,0030 yang diterima oleh ibunya Hayati Kadir.

Sementara itu, Rithuan berkata program Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP telahpun dilaksanakan sejak 2015  hingga 2021 dengan jumlah penerima seramai 195 pelajar membabitkan peruntukan berjumlah RM5.5 juta.

Katanya, penerima terpilih ini terdiri daripada golongan B40 dan keluarga yang berpendapatan rendah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Alhamdulillah kita bersyukur YWP tidak meminggirkan anak-anak Labuan yang cemerlang dalam akademik untuk turut sama menerima Skim Biasiswa Pengajian Tinggi YWP” kata Rithuan.