Dua parah nahas dua kereta di Kampung Mangaris

KOTA MARUDU: Dua individu cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua buah kenderaan di Kampung Mangaris 3, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.23 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Perodua Axia dengan empat mangsa terlibat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi sejauh 15 kilometer.

“Dua mangsa yang menaiki Perodua Axia, masing-masing seorang lelaki berusia 33 tahun dan seorang wanita berusia 44 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan parah namun tidak tersepit.

“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Kota Marudu menggunakan ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, dua lagi mangsa yang menaiki Perodua Bezza, iaitu seorang lelaki berusia 36 tahun dan seorang wanita, tidak mengalami sebarang kecederaan dan berjaya keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan pasukan bomba.

Operasi berjaya dikawal dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.54 petang selepas memastikan keadaan selamat.