KOTA KINABALU: Dua individu maut selepas motosikal dinaiki mereka melanggar bahagian belakang sebuah Proton Saga dalam kejadian di Jalan UMS, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi itu, Proton Saga dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun dikatakan membuat pusingan U di lampu isyarat Mini Putrajaya sebelum meneruskan perjalanan di lorong tengah.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, SUPT Syed Lot bin Syed Ab Rahman, berkata motosikal jenis Yamaha Y15 yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal terjatuh di lorong tengah jalan manakala pembonceng tercampak ke bahu kiri jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II.
Beliau berkata, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk tindakan lanjut.
Katanya, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kedua-dua kenderaan ditahan bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
