Dua bekas pemain Sabah sertai kejurulatihan TABS SAFA Bandaraya

KOTA KINABALU : Bekas pemain pertahanan Sabah, Malim Surat dan bekas pemain wanita Malaysia, Nur Jannah Syuhadah Gabas Abdullah menyertai bahagian kejurulatihan TABS SAFA Bandaraya dan mereka melaporkan diri pagi tadi.

Kedua-dua ikon bola sepak Sabah itu yang kini menjadi jurulatih akan membantu mengendalikan sesi latihan program pembangunan bola sepak TABS yang dijalankan setiap hujung minggu pada Sabtu dan Ahad.

Naib Pengerusi 1 TABS SAFA Bandaraya, S.A Ramlye yang mengesahkan perkara itu dan berkata, seorang lagi jurulatih, bekas pemain Sabah akan melaporkan esok (Ahad).

Katanya, beberapa orang lagi jurulatih berpengalaman telah menyatakan minat untuk menyertai bahagian kejurulatihan namun ia bergantung kepada keperluan.

“Sekiranya ada keperluan, kita akan tambah lagi memandangkan ketika ini kita masih memiliki sekurang-kurangnya sembilan jurulatih sedia ada,” katanya ketika ditemui semasa memantau sesi latihan di padang TABS Sukma di sini.

Menurut beliau, pihaknya akan memastikan jurulatih TABS memiliki tauliah dan berpengalaman mengendalikan program pembangunan bola sepak.

Ini katanya, penting bagi membolehkan program pembangunan yang dikendalikan berkualiti dan mendapat keyakinan kalangan ibu bapa pelatih.

“Ini antara perancangan kami bagi memastikan program pembangunan tersebut selaras dengan nama dan imej TABS,” ujarnya.