SIPITANG : Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yaccob dan isteri Datin Azizah Beniamen menyertai program gotong royong bagi membaikpulih Kuaters Lama Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dijadikan Markas Sementara Wataniah Kompeni Charlie Sipitang, pada Ahad lepas.
Program dilaksanakan bersama dibawah Unit Peduli Rakyat bawah Pusat Khidmat ADUN Sindumin dan anggota Askar Wataniah.
Hadir sama, Penolong Pegawai Memerintah Batalion Kedua Rejimen 507 Askar Wataniah Leftenan Kolonel Zaini Ariffin dan Pengerusi Persatuan Peduli Rakyat Sipitang Arthur Padan.
Turut menyertai program gotong royong ini adalah Beliawanis PGRS Sindumin.
Yusof berkata, pihaknya mengambil inisiatif bersama Askar Wataniah Sipitang untuk melakukan baik pulih secara gotong royong kuaters lama JKR Sipitang untuk dijadikan Markas Sementara Askar Wataniah Sipitang.
Katanya, ketika ini Markas Sementara Askar Wataniah Sipitang menggunakan premis di Bangunan Lama Pejabat Daerah Sipitang yang dalam keadaan using.
“Setelah dimaklumkan perkara itu, saya kemudian berhubung dengan Pegawai Daerah Sipitang jika ada premis boleh diguna untuk sementara sebelum markas kekal Askar Wataniah dibina.
“Mereka mencadangkan sebuah kuaters lama JKR dan hari ini proses baikpulih dilakukan secara gotong royong,” katanya.
Pada masa sama, Yusof berkata, terdapat keperluan mewujudkan bangunan markas askar wataniah yang baharu di daerah ini dan beliau akan membawa perkara itu kepada pihak Kementerian Pertahanan.