𝗧𝗔𝗪𝗔𝗨 : Sebuah bot kargo ditahan selepas disyaki membawa pelbagai barang kawalan tanpa permit sah di perairan Tanjung Batu menuju ke Pulau Sebatik di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihak menahan bot terbabit kira-kira jam 10.00 pagi ketika menjalankan ‘OP Pluto Timur dan Op Tiris berada dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati bot terbabit bersama seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun bertindak selaku juragan bot berkenaan.
“Selepas pemeriksaan menyeluruh dijalankan mendapati bot terbabit didapati membawa muatan 48 kilogram gula pasir paket, 34 kilogram minyak masak paket, dua tong gas LPG berisi dan tiga gelen minyak petrol anggaran 90 liter tanpa permit yang sah.
“Bot kargo, muatan serta juragan bot berkenaan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tidak memiliki permit yang sah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Shahrizan berkata, pihaknya akan melaksanakan penguatkuasaan tanpa mengira kuantiti barangan dibawa berikutan modus operandi pengusaha membawa muatan secara berulang diambil kira.
“Kita menganggarkan kesemua barangan rampasan bernilai RM24,000 ditahan untuk siasatan atas kesalahan yang dilakukan.
“Maritim Malaysia memperkasakan tugas penguatkuasaan serta mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE),” jelas Shahrizan.