Sembilan kontena daging sejuk beku di tahan bernilai RM2.7 juta di Pelabuhan Sepanggar

KOTA KINABALU : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah menahan sembilan kontena berisi daging ayam sejuk beku bernilai lebih RM2.7 juta dalam serbuan di pelabuhan Sepanggar, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, hasil siasatan mendapati kesemua kontena berkenaan cuba diseludup masuk ke dalam negara ini.

Katanya, pihak bertindak berdasarkan maklumat pada 7 Mei lalu sepasukan anggota daripada Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu melakukan pemeriksaan terhadap 14 kontena sejuk beku di Pelabuhan Sepanggar.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sembilan buah kontena terbabit mengandungi daging ayam sejuk beku mempunyai pengikraran berbeza dilakukan manifes sekali gus difahamkan palsu dengan tujuan penyeludupan.

“Pihak Kastam Sabah menganggarkan jumlah duti serta cukai telribat adalah berjumlah RM550,000,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam Sabah, di sini hari ini.

Mohd Nasir berkata, modus operandi dalam kes ini adalah membuat pengikraran palsu dalam manifes di mana dagangan yang dikirar sebagai sayur-sayuran seperti ubi kentang dan kacang pis hijau.

“Pengikraran palsu ini kita kenalpasti adalah bagi tujuan penyeludupan dan mengaburi mata pihak berkuasa. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 52 dan 134 (1) (a) Akta Kastam 1967,” jelas Mohd Nasir.