KOTA KINABALU, 23 Mac (Bernama) — Sabah merekodkan lebih kurang 90.1 peratus atau RM4.37 bilion nilai pelaburan asing pada tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata ia merupakan sebahagian daripada nilai pelaburan yang dicatatkan oleh negeri itu pada tahun lepas iaitu RM4.86 bilion menerusi pelaburan 14 syarikat perkilangan yang diluluskan berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah itu berkata jika dibandingkan dengan nilai pelaburan asing bagi 2020 dan 2021, tahun lepas mencatatkan nilai pelaburan asing lebih tinggi berbanding RM11.5 Juta pada tahun sebelumnya.
“Penyumbang utama kepada lonjakan nilai pelaburan asing ini adalah pelabur dari Korea Selatan iaitu SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd dengan nilai pelaburan sejumlah RM4.2 bilion. Nilai pelaburan ini merupakan nilai pelaburan asing terbesar diterima Sabah setakat ini.
“Kejayaan membawa masuk pelabur dari Korea Selatan ini adalah hasil daripada inisiatif kementerian saya dalam memudahcara proses pelaburan syarikat tersebut,” katanya ketika menggulung perbahasan ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bagi kementeriannya di sini hari ini.
Kementerian beliau telah membentuk pasukan petugas khas untuk menyelaras pelaburan berimpak tinggi yang dianggotai lebih 26 agensi kerajaan negeri dan Persekutuan bagi mempercepatkan proses kelulusan diperlukan dalam masa tujuh bulan daripada perbincangan sehingga pembinaan kilang.
Kesinambungan daripada kejayaan pasukan petugas khas itu, kementeriannya telah meneruskan kolaborasi agensi ini untuk memudahcara proses pelaburan berimpak tinggi dari China yang mengeluarkan panel solar di Taman Perindustrian Kota Kinabalu.
Joachim berkata pihaknya juga akan melaksanakan beberapa inistiaf bagi menyediakan iklim pelaburan kondusif kepada pelabur asing dan domestik seperti memberi diskaun ke atas kadar cukai serta bayaran pajakan tanah; mengenakan kadar tarif kompetitif bagi penggunaan tenaga elektrik, gas dan air.
Sementara itu, Joachim berkata Program Transformasi Usahawan Sabah juga akan diteruskan bagi membantu usahawan baharu yang mempunyai produk dan potensi dengan memberi bantuan daripada segi reka bentuk baharu termasuk logo, percetakan pembungkusan, kandungan nutrisi serta kod bar.
– BERNAMA