KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengajak semua pihak berganding bahu merancang dan melaksanakan program-program pembangunan belia dan sukan untuk mencapai kecemerlangan belia dan sukan di Sabah.
Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Ellron Angin berkata kementeriannya telah melaksanakan program-program jaringan kerjasama bersama agensi-agensi seperti Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, universiti awam dan awasta serta Majlis Belia Sabah dalam program bersepadu digital Youth Management System (YMS).
“Untuk makluman Dewan yang mulia ini, sejak dilancarkan pada 6 November 2021, ramai belia di Sabah telah mendaftar di dalam YMS termasuk belia Sabah di Semenanjung Malaysia,” katanya.
“Manfaat yang akan diperolehi melalui YMS ini adalah adalah permohonan dana SYABAS, dana Persatuan/Kelab belia dan lain-lain lagi insentif yang boleh membantu belia. KBSS mengalu-alukan belia di luar sana untuk mendaftar dalam YMS ini,” katanya semasa menyampaikan penggulunggan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, menjelaskan program pembangunan yang dilaksanakan kementeriannya adalah berdasarkan garis panduan Dasar Belia Sabah (DBS).
Sementara itu, Ellron berkata bagi merealisasikan hasrat belia yang menyumbang kepada pembangunan modal insan, ekonomi dan kesejahteraan sosial di Sabah, KBSS telah memperuntukkan dana kepada program `Signature KBSS’ yang akan mengubah pola pemikiran belia negeri ini.
Katanya dibawah program ini, terdapat lima aktiviti disusun bagi membantu kelompok belia iaitu Felo Sabah Maju Jaya, Dewan Belia Sabah, Komuniti Sukarelawan Belia Sabah, Program Pertukaran (melibatkan belia Sabah dan antrarabangsa) dan Program Pemerkasaan.
Berhubung isu kebolehpekerjaan belia di Sabah, Ellron berkata ia adalah isu yang penting perlu diambil perhatian oleh semua pihak terutamanya penglibatan badan-badan swasta yang menyediakan peluang perkerjaan kepada golongan belia.
Jelas beliau, bagi tujuan pembinaan organisasi kelab/persatuan belia yang cemerlang, KBSS telah menyediakan dana khas bagi membantu kelab belia/persatuan untuk mewujudkan koperasi belia di komuniti terpilih.
“Kementerian saya juga ada menyediakan program-program kemahiran jangka pendek dengan Pensijilan Skim Kemahiran Malaysia (SKM) yang berpandukan kepada pendekatan SMJ menerusi industri Pelancongan, Pertanian dan Perindustrian.
“Pada tahun 2021 Kementerian saya telah berjaya mengadakan 17 program kemahiran dengan penglibatan seramai 288 orang belia di daerah Tuaran, Tambunan, Tamparuli, Papar, Kota Kinabalu, Putatan dan Kota Marudu walaupun dalam masa pandemik,” ujarnya.
Selain itu, katanya KBSS juga masih meneruskan Program Pemberian Dana kepada MBS dan gabungannya bagi membantu melaksanakan program Pembangunan Belia peringkat negeri dan akar umbi.
Menurutnya pada tahun lepas, Kementeriannya telah memperuntukan sebanyak RM 2.2 juta kepada MBS dan badan gabungannya.
Katanya dengan tujuan itu, KBSS melalui MBS akan mewujudkan 27 Majlis Belia Daerah dan sembilan Gabungan Belia Bahagian di seluruh Sabah.
“KBSS juga memfokuskan kebajikan dan perkembangan kendiri belia institusi pengajian tinggi Awam/swasta dengan memberi bantuan dana kepada persatuan-persatuan pelajar IPTA/IPTS yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) dan MBS.
“MBS akan mewujudkan sekreteriat pelajar Sabah di Semenanjung dan luar negara sebagai satu platform berbincang, merancang dan melaksana suatu tindakan tersusun bagi kelompok belia IPTA/IPTS,” kata Ellron.