China kekal rakan perdagangan penting Sabah

KOTA KINABALU: Negara China kekal menjadi rakan perdagangan yang penting bagi Sabah dengan nilai dagangan meningkat 1.2 peratus kepada RM6.56 bilion dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri berharap lebih banyak aktiviti perdagangan dan pelaburan dari negara itu masuk ke Sabah sejajar kerjasama baik ekonomi dan perdagangan dengan Malaysia.

“China kini adalah rakan dagang terbesar Malaysia dan negara ini juga menjadi antara rakan dagang utama China di rantau Asia Tenggara,” katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-74 Republik Rakyat China anjuran konsulat negara itu di Kota Kinabalu, malam tadi.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Majlis itu dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr Huang Shifang.

Hajiji berkata, banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengukuh dan menyesuaikan strategi pembangunan Sabah dengan China menerusi rangkuman pemodenan China dengan gagasan Malaysia Madani dan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam sektor pelancongan, katanya, kedatangan pelancong dari China mencatat pertumbuhan yang baik sejak pembukaan sepenuhnya sempadan negara itu pada Mac lalu.

“Untuk enam bulan pertama tahun ini, kita merekodkan seramai 17,040 kedatangan pelawat dari China, meningkat 680.6 peratus berbanding 2,188 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

“Ketika ini Sabah dihubungkan terus dengan tujuh bandar utama di China menerusi 54 penerbangan mingguan dan 9,861 kapasiti tempat duduk.

“Kita berharap untuk melihat lebih banyak kesalinghubungan udara bagi meningkatkan lagi ketibaan pelancong China ke Sabah,” katanya.

Jelasnya, kerajaan negeri berbesar hati apabila Sabah kekal menjadi destinasi pilihan kepada pelawat dari China, sama ada untuk bercuti atau urusan perniagaan.

Katanya, peningkatan keseluruhan ketibaan pelawat ke Sabah yang berjumlah 1,198,536 orang antara Januari hingga Jun tahun ini dengan nilai perbelanjaan pelancong yang direkodkan sebanyak RM2.45 bilion adalah petanda baik untuk Sabah.

Jumlah itu, katanya, mewakili peningkatan sebanyak 69.1 peratus berbanding jumlah pelancong dan hasilnya yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.