Tumpahan minyak di Patau-Patau perairan Labuan terkawal

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)  Zon Labuan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Labuan dan Jabatan Laut Malaysia (JLM)  sedang giat melaksanakan operasi mengawal tumpahan minyak yang berlaku di perairan Labuan berhampiran  kawasan Patau-Patau  dekat sini, semalam.

Timbalan Pengarah Zon Operasi APMM Zon Labuan, Komander Maritim Mohd Hafiz Abd Mutalib berkata, tumpahan minyak yang dianggarkan berkeluasan 1.5 kilometer persegi itu melibatkan kampung Patau-Patau, Jeti APMM Labuan dan Jeti Labuan Shipyard Engineering (LSE).

Mohd Hafiz berkata,  Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Labuan telah menerima aduan kejadian tumpahan minyak itu daripada Persatuan Nelayan Labuan kira-kira jam 11.30 pagi.

Berikutan aduan itu, katanya,  bot peronda Maritim Zon Labuan telah diatur gerak bersama dua orang pegawai dari JAS bagi melakukan pemeriksaan ke atas kapal-kapal yang sedang bertambat di LSE.

“Hasil pemeriksaan awal sample minyak dari kapal telah dilakukan oleh Pegawai JAS dan mendapati tumpahan minyak berpunca daripada janakuasa sebuah kapal  dan siasatan lanjut secara menyeluruh akan  dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata ketika ini  pihak Maritim Malaysia dengan kerjasama JAS, JLM serta LSE telah memasang ‘Boom’ iaitu suatu alat terapung di permukaan laut bagi mencegah tumpahan minyak merebak  di perairan Kg. Patau Patau Satu.