KOTA KINABALU : Satu laporan polis berkaitan artikel berunsur fitnah disiarkan portal berita Sabahkini2 “Kerajaan Sabah Digesa Tamatkan CEO ECoS, Luluskan IPP Libaran Milik Besan Muhyiddin Tanpa Restu Kabinet” pada 17 April lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) berkata, artikal terbabit didapati mengandungi pelbagai tuduhan palsu sekali gus tidak berasas terhadapnya.
Katanya, antara tuduhan tersebut termasuk beliau meluluskan projek Independent Power Producer (IPP) Libaran milik besan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tanpa mendapat kelulusan Kabinet Negeri Sabah.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan yang terkandung dalam artikel ini.
“Kita akan mengambil tindakan undang-undang berdasarkan peraturan, dasar serta prosedur rasmi ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Nasser berkata, segala keputusan oleh Majlis Tenaga Sabah sepertimana dimandatkan oleh Kabinet Negeri.
“Penerbitan artikel tersebut dilihat mempunyai niat jahat untuk mencemarkan nama baik serta merosakkan reputasi ECoS sebagai badan pengawal selia yang berwibawa di Sabah.
“Artikal ini didapati cuba menimbulkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah secara keseluruhannya,” jelas Abdul Nasser.
Menurutnya, tuduhan dikemukakan dalam artikel tersebut bukan sahaja bersifat fitnah malah berpotensi menjejaskan kepercayaan awam terhadap tadbir urus tenaga di negeri ini.
“Kita menganggap serius perkara ini memandangkan ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat dan pelabur.
“Laporan polis tersebut dibuat dengan beberapa tujuan penting. Pertama, meminta agar siasatan terperinci terhadap penulis artikel, pengendali portal Sabahkini2 dan mana-mana pihak terlibat dalam penyebaran maklumat palsu ini.
“Kedua, bagi mendesak tindakan undang-undang di bawah Seksyen 500 (fitnah jenayah) dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Beliau berkata, ketiga untuk mempertimbangkan tindakan sivil atas kerugian dan kerosakan reputasi dialaminya dan ECoS.