Cadangan pembinaan 370 Unit Taman Perumahan Penjawat Awam Sabah dilaksanakan pertengahan tahun ini – Masiung

PAPAR: Projek Perumahan Penjawat Awam melibatkan 370 Unit Rumah mampu milik dijangka akan dilaksanakan pembinaannya selewat-lewatnya menjelang pertengahan tahun ini.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah (LPPB), Datuk Masiung Banah, berkata pada dasarnya kerajaan negeri bersetuju mewartakan tanah seluas 136 ekar di Kampung Kopimpinan dan Kawang, Papar bagi tujuan pembinaan projek berkenaan.

Katanya, pada peringkat awal ini satu Mesyuarat Khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri (JPAN) bersama dengan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) serta Unit Perancang Bandar bagi menentukan tarikh kerja-kerja pecah tanah dijangka dilakukan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

“Saya sudah mengeluarkan arahan kepada pegawai terlibat termasuk Jurutera Kanan serta Juru Perunding untuk berbincang sekali gus dapat menyiapkan beberapa dokumentasi penting dalam tempoh terdekat.

“Ketua Menteri mengeluarkan arahan agar LPPB menjadi pelaksana kepada projek cadangan pembinaan perumahan ini khusus melibatkan penjawat awam di Sabah agar mereka dapat memiliki rumah sendiri selaras dengan hala tuju Sabah Maju Jaya,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Pembinaan Taman Perumahan Penjawat Awam Sabah di sini semalam.

Masiung berkata, mengikut perancangan awal, cadangan membina taman perumahan penjawat awam ini diletakkan di bawah JPAN kemudian disenaraikan berdasarkan program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Dalam tempoh sama, LPPB dilantik sebagai pelaksana terhadap projek terbabit, kini dalam peringkat akhir bagi menyediakan dokumentasi berkaitan termasuk anggaran kos projek serta harga rumah mengikut saiz yang ditetapkan..

“Setakat ini LPPB menyediakan tiga konsep rekabentuk rumah mampu milik mengikut kategori serta kelayakan penjawat awam yang bakal menjadi pembeli kepada projek berkenaan di masa depan,” katanya.

Sebagai tambahan Masiung mengingatkan agar Juru Perunding meneliti konsep pembinaan asal berkongsepkan reka bentuk moden selaras dengan bentuk muka bumi berbukit di tapak projek selain mengekalkan keindahan amal semulajadi di kawasan berkenaan.