CAAM siasat kelulusan helikopter ambil ‘nasi ganja’

KUALA LUMPUR: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah memulakan siasatan sama ada pengendali helikopter dipercayai milik syarikat swasta yang mendarat di Padang Ipoh, pagi semalam melaksanakan operasi penerbangan dalam skop diluluskan atau sebaliknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kapten Chester Voo, berkata siasatan awal mendapati, helikopter dikendalikan oleh Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) itu berlepas pada jam 9.08 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAS), Subang Jaya.

“Helikopter berkenaan ke Ipoh dan kembali ke LTSAS pada jam 11.02 pagi seperti yang difailkan dalam penerbangan.

“CAAM telah menjalankan siasatan segera bagi menentukan sama ada helikopter berkenaan melanggar mana-mana peraturan seperti yang tertakluk dalam Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016 dan arahan penerbangan awam (CAD),” katanya dalam kenyataan, hari ini disiarkan portal Berita Harian.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, mengesahkan kejadian itu dan mendapati helikopter berkenaan hanya diberi kebenaran untuk mendarat di LTSAS.

Katanya, helikopter berkenaan yang mengambil tempahan nasi ganja dan mendarat di Padang Ipoh tidak diberikan kebenaran untuk berbuat demikian.

Chester menegaskan, semua pengendali pesawat harus mematuhi peraturan seperti tertakluk dalam CA2, Bahagian 3.1 Protection of Persons and Property, serta peraturan lain berkaitan.

“CAAM akan terus memastikan semua pengendali pesawat mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan demi keselamatan industri dan orang awam,” katanya.